Friday, September 12, 2014

Akta Hasutan hangatkan persaingan liberal-konservatif dalam Umno

Oleh HARIS ZALKAPLI

Tiga tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mengambil satu tindakan mengejutkan apabila memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, ISA, dalam suasana negara menunggu Pilihan Raya Umum ke-13.

Tindakan Najib itu menggerakkan pemerintah Umno dan Barisan Nasional ke arah yang lebih liberal, sehingga mencetuskan kegusaran dalam parti itu yang sebahagian besar ahlinya cenderung konservatif.

Pada masa itu, ramai pemerhati melihat dengan optimis tetapi berhati-hati terhadap tindakan berani Najib yang tidak dijangka itu.

Dalam parti, tindakan memansuhkan ISA yang dilihat sebagai satu instrumen penting untuk memelihara keselamatan negara dilihat sebagai satu lagi tindakan yang menunjukkan kecenderungan liberal Najib.

Najib mula dilihat berkecenderungan lebih liberal apabila memunculkan retorik 1 Malaysia yang dilihat sebagai didasari atau bersumber fahaman liberal, yang tidak selari dengan pegangan ketuanan Melayu yang dipertahankan Umno selama ini.

Debat berhubung Akta Hasutan 1948 hari ini sekali lagi menghangatkan persaingan liberal dan konservatif dalam Umno, yang berlangsung dengan sengit dalam era Najib yang mencabar ini.

Gelombang pendakwaan menggunakan Akta Hasutan yang sedang berjalan ini memperlihatkan Najib sebagai pemimpin yang semakin autoritarian, tetapi pada masa sama beliau menunjukkan yang akta itu akan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional yang dilihat sebagai lebih disenangi kelompok liberal di dalam dan luar parti.

Kelompok konservatif tidak mahu Akta Hasutan dimansuhkan kerana menganggapnya sebagai penting untuk memelihara kesejahteraan negara.

Selepas ISA dimansuhkan, konservatif melihat pemansuhan Akta Hasutan akan meruntuhkan satu lagi benteng penting pertahanan keselamatan dan keharmonian negara.

Najib pada 11 Julai, 2012 berjanji yang Akta Hasutan akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional. "Melalui pemansuhan dan penggubalan rang undang-undang yang sedang berjalan, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik yang mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea," kata Najib dipetik Bernama.

"Pucuk pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia yang mana prinsip hak asasi manusia dijunjung, kebebasan individu untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan individu dan komuniti diimbangi."

Sentimen menyokong Akta Hasutan ini diwakili oleh tokoh Melayu konservatif Datuk Ibrahim Ali yang lantang menyuarakan penentangan terhadap usaha memansuhkan akta tersebut. Beliau dilapor berkata akta ini masih diperlukan untuk mencegah perkara yang boleh mengancam keselamatan negara.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional turut menggesa Akta Hasutan ditambahbaik untuk menangani hasutan dan penghinaan agama yang dilakukan di media sosial.

"Cegah sebelum musnah. Kalau pemimpin Umno dah faham apa dalam fikiran orang Melayu, ini petanda baik. Masih ada talian hayat. Kekalkan dan tambah baik Akta Hasutan," katanya dipetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilapor berkata kerajaan sedia meminda Akta Hasutan dan undang-undang lain bagi menangani penghinaan dan hasutan di media sosial.

Muhyiddin dilihat sebagai mewakili kelompok konservatif dalam Umno, yang mendapat sokongan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi pengkritik kuat terhadap kecenderungan liberal Perdana Menteri Najib dan kemaraan tokoh-tokoh liberal dalam Umno seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Kritikan terhadap Najib dan liberal dalam Umno juga muncul ekoran kenyataan Datuk Saifuddin Abdullah, ketua pegawai eksekutif Yayasan Kesederhanaan Global, GMMF, sebuah badan yang dibina untuk melonjakkan imej moderat Najib di peringkat antarabangsa.

Saifuddin mengambil pendirian menyokong pemansuhan Akta Hasutan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional, dan secara konsisten menulis di Twitter menyertai kempen memansuhkan Akta Hasutan.

Saifuddin menunjukkan sokongan kepada akademik Universiti Malaya yang didakwa, Azmi Sharom, dan menganggap pendakwaan itu menyekat kebebasan akademik.

Beliau menganggap pelaksanaan Akta Hasutan kini sebagai bersifat drakonian dan selektif.  Katanya, Najib perlu disokong untuk memansuhkan Akta Hasutan. "Rakyat perlu menggalakkan dia untuk melakukannya. Tidak semua orang di sekeliling Najib mempunyai pemikiran yang sama dengan dia. Jika beliau mahu melakukannya, maka rakyat harus memberi sokongan kepada mereka," katanya dipetik media.

Saifuddin tewas di kerusi Parlimen Temerloh dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu, dengan sebahagian puncanya ialah penolakan ahli-ahli Umno terhadapnya ekoran kecenderungan liberal beliau.

Akta Keharmonian Nasional terus menerima reaksi bercampur-campur daripada kalangan ahli Umno dan tokoh-tokoh Melayu.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada Julai lalu dilapor berkata Majlis Konsultasi Perpaduan Negara yang menyumbang kepada penggubalan Akta Keharmonian Nasional dikuasai kelompok liberal.

Abdul Hamid yang menolak tawaran mempengerusikan majlis itu dilapor berkata majlis itu dibimbangi diperalat untuk menghakis hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

"Saya takut kiranya saya akan menjadi 'pengkhianat' kepada bangsa Melayu dan agama Islam," beliau dipetik berkata.

Satu pandangan konservatif turut disiarkan akhbar Umno, Utusan Malaysia julai lalu, tulisan pemerhati politik, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim.

Beliau menegaskan, "Kita sememangnya cukup bimbang sekiranya Rang Undang-Undang Harmoni Nasional yang bakal menggantikan Akta Hasutan 1948 terlampau menjulang Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara Lapan yang memperuntukkan kesamarataan itu sehinggakan mengetepikan pula empat perkara sensitif dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera (Perkara 153), kedaulatan Raja-Raja Melayu (Perkara 181) dan Bahagian III berkaitan kerakyatan (Perkara 14-30).

"Kekhuatiran ini pada dasarnya berasas kerana kelihatannya ketika ini yang berlegar-legar dalam fikiran sebahagian ahli berfahaman liberal dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara agak menjurus untuk menguar-uarkan Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan," tulisnya.

Kritikan keras terhadap Najib bakal meningkat lagi ekoran perkembangan terbaharu ini, dan ini diburukkan lagi oleh kemerosotan hubungan beliau dengan Mahathir kebelakangan ini.

Wartawan veteran Abdul Kadir Jasin pada April lalu menegaskan yang lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bertemu Najib dijelaskan oleh dasar liberal yang dilaksanakan Najib.

Debat berhubung isu pemansuhan Akta Hasutan ini, dan penggubalan Akta Keharmonian Nasional kini menunjukkan dengan jelas perbezaan pemikiran dalam kalangan liberal dan konservatif dalam Umno, dan menjadi ujian terkini terhadap Najib dalam usahanya melaksanakan perubahan ke arah yang lebih liberal untuk memelihara kedudukannya. - September 9, 2014

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...